anak bijak

Didik Al Quran

Berhati-hati Penggunaan Ubat Batuk Dan Selesema Dalam Rawatan Kanak-kanak


Pada lazimnya, masalah batuk dan selesema adalah berpunca daripada jangkitan virus yang mana badan kita
secara semulajadi mempunyai mekanisme pertahanan untuk melawan jangkitan tersebut.

Simptom awal selesema yang dialami pesakit adalah seperti  sakit kerongkong, lemah-lemah badan dan diikuti dengan hidung berair dan tersumbat, batuk dan juga sakit kepala.  Batuk dan selesema tidak memerlukan rawatan yang spesifik untuk sembuh. Kebiasaannya badan kita akan melawan jangkitan tersebut dan simptom akan beransur pulih  dalam tempoh tertentu.


Rawatan   yang   diberi   adalah    lebih   kepada   untuk melegakan simptom, mencegah komplikasi serta mengelakkan penyebaran jangkitan tersebut. Ubat yang biasa diberikan adalah dari jenis antihistamin (seperti chlorpheniramine), antitusif (seperti dextromethorphan) dan dekongestan (seperti pseudoephedrine) yang secara amnya adalah selamat untuk digunakan.



Walau bagaimanapun, ubat batuk dan selesema ini boleh memudaratkan jika diberi pada kanak-kanak yang berumur di bawah 2 tahun. Kanak-kanak ini berisiko mendapat kesan advers yang serius seperti masalah pernafasan, terlalu mengantuk dan sawan serta berpotensi untuk menyebabkan kematian terutamanya akibat penekanan saluran pernafasan.

Pusat     Pemonitoran    Kesan   Advers    Ubat      Kebangsaan,      Biro       Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari masa ke semasa ada menerima laporan kesan advers melibatkan penggunaan ubat batuk dan selesema di kalangan kanak-kanak berusia di bawah 2 tahun.

Sebagai langkah pengurangan risiko bagi isu keselamatan ini, pihak KKM telah  mewajibkan pihak syarikat meletakkan label yang jelas pada botol ubat tentang larangan penggunaan ubat batuk dan selesema bagi kanak-kanak di bawah umur 2 tahun serta ubat-ubat tersebut perlu disediakan dalam bentuk pek saiz pesakit (patient dispensing pack) dengan isipadu tidak melebihi kuantiti maksima 120mL.

Sekiranya bayi atau kanak-kanak berumur dua tahun ke bawah mengalami masalah batuk dan selsema, terdapat beberapa kaedah rawatan yang boleh dipertimbangkan sebagai alternatif kepada ubat batuk dan selsema. Antara kaedah-kaedah tersebut adalah:

i. Menggunakan garam isotonik (normal saline atau sodium chloride 0.9%) dalam bentuk titisan atau semburan hidung cecair
ii. Menggunakan alat penyedut rongga hidung (nasal suction) untuk menyedut keluar mukus daripada rongga hidung
iii. Memberikan bayi atau kanak-kanak minum air secara kerap untuk menggalakkan penghidratan badan



Dalam sesetengah keadaan, penggunaan ubat batuk dan selsema amat perlu bagi tujuan rawatan untuk pesakit kanak-kanak setelah faedah dan risiko yang berkaitan dipertimbangkan sepenuhnya. Walau bagaimanapun terdapat beberapa perkara berikut perlu diberi perhatian.

Pertama, pastikan ubat ubat batuk dan selsema yang diberikan tidak melebihi dos dan kekerapan yang dicadangkan dalam label dan arahan penggunaan ubat tersebut. Kedua, pastikan ubat disukat dengan menggunakan alat penyukat yang tepat seperti picagari. Sukatan dengan menggunakan tudung penyukat, camca atau sudu adalah tidak tepat dan mungkin boleh menyebabkan dos berlebihan.

Ketiga, pastikan ubat batuk dan selsema yang dipreskripsikan kepada pesakit kanak-kanak, tidak boleh dikongsikan kepada pesakit kanak-kanak yang lain walaupun mereka mengalami gejala penyakit yang sama. Perkara ini adalah kerana dos ubat-ubatan dalam kalangan kanak-kanak adalah berbeza mengikut kiraan berat badan mereka.

Kesimpulannya, ubat batuk dan selsema merupakan bahan aktif yang digunakan secara meluas dalam produk ubat batuk dan selsema. Secara umum, ubat ini adalah selamat untuk digunakan. Namun penggunaannya tidak disyorkan untuk kanak-kanak berumur 2 tahun ke bawah. Dapatkan nasihat daripada ahli farmasi atau doktor sebelum menggunakan ubat antihistamin untuk kanak-kanak bawah umur 2 tahun.

Sila laporkan sebarang kesan sampingan ubat-ubatan disyaki kepada Pusat Pemonitoran Kesan Advers Kebangsaan melalui laman sesawang www.bpfk.gov.my.Sekiranya orang awam mempunyai sebarang pertanyaan am berkenaan ubat-ubatan, anda boleh bertanya kepada mana-mana ahli farmasi atau menguhubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian 1800-88-6722. Kami sedia membantu.

Disediakan oleh
Khairul Naim Bin Zainal Abidin
Klinik Kesihatan Lembah Klau, Raub Pahang

No comments:

Post a Comment